About Me

My Photo
Anak Bapak Al-Banjary Al-Asya'iry As-Syafi'iy, Dilahirkan pada tanggal 1hb Januari 1983 di Kg Parit Satu Sungai Sireh, Tanjong Karang, Selangor Darul Ehsan, seorang Melayu berketurunan Banjar suku Alai, Kini bersama PAS Kawasan Tanjong Karang berjuang menegakkan Islam di atas muka bumi Allah sebagai amanah dan tanggungjawab dari-Nya.. ..terima kasih atas sokongan anda.. Takbirr..ALLAHUAKBAR..!!!

Tuesday, December 28, 2010

JANJI 100 HARI, BN RESAH !!!

Pemimpin Umno BN gelisah mengenai janji 100 hari PR yang diisytihar di Konvensyen Pakatan Rakyat ke 2 pada 19/12/2010. Ini jelas kelihatan daripada kenyataan pemimpin BN termasuk daripada NGO Umno menuduh ini janji yang tidak realistik. Mereka mengeluarkan kenyataan bahawa program ini membazir dan memberi kesan buruk kepada struktur ekonomi negara.



PAS berasa pelik dengan sikap yang ditunjukkan oleh pemimpin Umno BN yang menuduh ini suatu usaha yang membazir. Semua program yang menguntungkan rakyat dianggap membazir, seperti kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor yang memberikan air 20 meter padu kepada rakyat di negeri tersebut.



Apabila Datuk Seri Najib Tun Razak hendak membina Menara Warisan 100 tingkat tidak dianggap membazir. Untuk kroni dan anak beranak tidak membazir. Sebenarnya pemimpin BN resah dengan janji 100 hari yang akan dijanjikan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat jika diberikan mandat untuk mentadbir negara ini. Rakyat yang berada di bawah pemerintah BN mula membuat perbandingan dengan negeri Pakatan, mereka melihat rakan mereka di negeri Pakatan hidup selesa kerana pemimpinnya siang malam memikir bagaimana untuk memberi kepada rakyatnya, manakala pemimpin BN memikir apa yang boleh diambil daripada rakyat.



Kenyataan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO, berkata janji pembangkang itu tidak lebih daripada ‘wayang politik’ bagi menutup kegagalan mereka.



PAS hendak mencabar pemimpin BN, siapa yang temberang rakyat? Bukankah pemimpin BN memberitahu rakyat pada 3 Nov 2010 minyak tidak akan naik hingga hujung tahun. Tiba-tiba 4 Disember 2010 minyak RON 95 naik 5 sen.



Sekurang-kurangnya dengan kekangan kewangan yang dialami oleh kerajaan Pakatan Rakyat, tetap dapat melaksanakan iltizam untuk rakyat seperti yang dijanjikan dalam menifesto. Dalam usia yang muda sudah banyak habuan rakyat dapat, walaupun dalam nilai yang kecil. Jelaslah bahawa Pakatan Rakyat teruji dan terbukti.

Thursday, December 23, 2010

BERI PAKATAN RAKYAT PERINTAH, BARU BUAT TUDUHAN !!!

PAS menasihatkan pemimpin Umno BN supaya bertenang dan rasional sebelum membuat tuduhan mengatakan janji 100 hari adalah pembohong besar. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan Program 100 Hari yang dikemukakan Pakatan Rakyat jika berjaya mengambil alih pemerintahan negara sebagai satu pembohongan besar yang bertujuan menipu rakyat.


Pakatan Rakyat belum lagi memerintah negara ini, sedangkan BN sudah 53 tahun memerintah Malaysia. Beri kami perintah dulu, kemudian baru nilai prestasi dan banding dengan pemerintahan BN. Macam mana seorang Timbalan Perdana Menteri bercakap dengan penuh emosi seolah-olah takut dengan bayang-bayang kekalahan yang akan dihakim oleh rakyat dalam PRU akan datang. Sebenarnya yang banyak berbohong ialah pemimpin Umno yang memberi rakyat dengan berbagai slogan pelali, berbagai-bagai jenama untuk melekakan rakyat. Antaranya rakyat didahulukan apa yang berlaku ialah rakyat yang kena dulu, tradisi membela rakyat apa yang berlaku ialah tradisi menindas rakyat, pencapaian yang diutamakan apa yang berlaku ialah pemimpin diutamakan. Bergegar dengan slogan transformasi apa yang berlaku ialah negara dilanda inflasi sehingga rendahnya kuasa membeli.



Tan Sri Muhyidin juga mengatakan janji 100 hari menyebabkan negara akan bankrap. PAS hendak mengingatkan kepada Tan Sri Muhyidin Yasin anak Pak Kiai Muar jangan membayangkan cara pemerintahan PR sama seperti cara BN menguruskan negara ini. Telahan bankrap datang daripada Datuk Seri Idris Jala Menteri Jabatan Perdana Menteri, yang mengatakan negara akan bankrap pada 2019, yakni bankrap dulu, baru negara maju pada tahun 2020.

Sunday, December 12, 2010

HARGA BARANG NAIK !!! KERAJAAN CUBA SALAHKAN PENIAGA !!!

PAS menasihatkan pemimpin Umno BN supaya bertenang dan rasional sebelum membuat tuduhan mengatakan janji 100 hari adalah pembohong besar. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan Program 100 Hari yang dikemukakan Pakatan Rakyat jika berjaya mengambil alih pemerintahan negara sebagai satu pembohongan besar yang bertujuan menipu rakyat.

Pakatan Rakyat belum lagi memerintah negara ini, sedangkan BN sudah 53 tahun memerintah Malaysia. Beri kami perintah dulu, kemudian baru nilai prestasi dan banding dengan pemerintahan BN. Macam mana seorang Timbalan Perdana Menteri bercakap dengan penuh emosi seolah-olah takut dengan bayang-bayang kekalahan yang akan dihakim oleh rakyat dalam PRU akan datang. Sebenarnya yang banyak berbohong ialah pemimpin Umno yang memberi rakyat dengan berbagai slogan pelali, berbagai-bagai jenama untuk melekakan rakyat. Antaranya rakyat didahulukan apa yang berlaku ialah rakyat yang kena dulu, tradisi membela rakyat apa yang berlaku ialah tradisi menindas rakyat, pencapaian yang diutamakan apa yang berlaku ialah pemimpin diutamakan. Bergegar dengan slogan transformasi apa yang berlaku ialah negara dilanda inflasi sehingga rendahnya kuasa membeli.



Tan Sri Muhyidin juga mengatakan janji 100 hari menyebabkan negara akan bankrap. PAS hendak mengingatkan kepada Tan Sri Muhyidin Yasin anak Pak Kiai Muar jangan membayangkan cara pemerintahan PR sama seperti cara BN menguruskan negara ini. Telahan bankrap datang daripada Datuk Seri Idris Jala Menteri Jabatan Perdana Menteri, yang mengatakan negara akan bankrap pada 2019, yakni bankrap dulu, baru negara maju pada tahun 2020.

Friday, December 10, 2010

KETAHUI DAN KENALILAH KETUANAN MELAYU UMNO...!!!

Apabila pemimpin Umno bercakap soal ketuanan Melayu, sama seperti kalau isteri pemimpin Umno menyeru wanita semua kena menutup aurat, kerana ini adalah arahan Allah. Inilah analogi yang layak dipakai, dalam erti kata yang lain cakap tidak serupa bikin. Selepas PRU 2008 pemimpin Umno macam orang kena sawan. Berbagai formula yang dicari untuk menyembuhkan penyakit. Sudah banyak doktor pakar datang merawat, sudah banyak tok bomoh membaca jampi, namun penyakit ini tidak juga sembuh malahan makin parah.

Cuma ada satu lagi ubat untuk dicuba iaitu Ketuanan Melayu. Dengan muka tidak malu pemimpin Umno mula menunjukkan Umno juara Melayu dan Pakatan Rakyat tidak bela Melayu. Dakwaan mereka, yang boleh tegak ketuanan Melayu ialah melalui Umno. Sebenarnya Umno cuba menutup bangkai gajah dengan tudung saji, kerana cuba untuk menutup kegagalan mereka selama ini.

Orang Melayu jangan tertipu lagi dengan slogan ketuanan Melayu ala Umno. Pemimpin Umno cuba meniupkan sentimen ini melalui media televisyen terutamanya. Media ini akan pusing isu ini seolah-olah Umno sahaja yang mempertahankan ketuanan Melayu sehingga setengah rakyat yang menganggap Umno begitu suci dan tidak boleh diganggu.

Sebenarnya ketuanan Melayu Umno hanya untuk menjadi tiket pemimpin mereka menggadai hak Melayu dan memberi kesenangan kepada keluarga dan suku sakatnya sahaja. Dalilnya sudah lebih separuh abad Umno diberi peluang untuk menjaga hak Melayu akhirnya satu persatu tergadai. Bukankah ini semua angkara Umno?

Faktanya ketuanan Melayu Umno telah merugikan orang Melayu, bukan mengangkat martabat Melayu di negara ini.


  • Ketuanan Melayu Umno menjadikan taraf hidup orang Melayu semakin menurun, malahan lebih teruk daripada kaum India. Dalam parlimen pada tahun 2007 , disebutkan bahawa lebih 600,000 rakyat di negara ini hidup di bawah paras kemiskinan iaitu berpendapatan kurang dari RM800. Statistik kaji selidik pendapatan isi rumah yang dilakukan menunjukkan hampir 90 peratus daripada mereka yang berada di bawah paras kemiskinan adalah orang Melayu.Memanglah kemiskinan adalah satu senjata untuk Umno guna bagi mengekalkan kuasa, dalilnya Sabah dan Terengganu yang berada di bawah ketuanan Melayu Umno merupakan negeri termiskin di Malaysia walaupun keduanya kaya dengan minyak.

  • · Ketuanan Melayu Umno yang menindas negeri Kelantan, walaupun majoriti rakyatnya Melayu. Sebanyak 118 projek pusat disekat sejak RMK 6 tahun 1991. Apakah Tuan Guru Nik Aziz yang memimpin Kelantan seorang Bangladesh?

  • · Ketuanan Melayu Umno, menyebabkan peneroka bandar telah dihalau macam anjing. Yang menjadi broker ialah pemimpin Umno dengan pemaju. Contoh yang terdekat seperti yang berlaku kepada penduduk setinggan di Kampung Plentong Tengah Pasir Gudang. Mereka sudah tinggal 30 tahun dan menjadi penyokong tegar Umno. Sewaktu mereka dihalau, batang hidung pemimpin Umno langsung tidak nampak. Begitu juga apa yang terjadi di Kampung Berembang Ampang di zaman Umno berkuasa. Ini semua kawasan tegar menyokong Umno. Sewaktu berhadap dengan pemaju ialah daripada PAS, PKR, DAP dan NGO sehingga ada yang merengkok dalam lokap. Mana pergi pemimpin Umno yang hendak menegakkan ketuanan Melayu ketika penyokong mereka dihalau.

  • · Ketuanan Melayu Umno menyebabkan orang Melayu ketinggalan kebelakang. Diskriminasi sesama bangsa hanya kerana berlainan ideologi, akhirnya telah menempatkan bangsa merempat di bumi sendiri. Kita tidak pernah dengar bagaimana pemimpin kaum lain yang menindas kaum sesama bangsa kerana berlainan ideologi. Tetapi ini berlaku kepada pemimpin Umno akhirnya peratus kemiskinan di kalangan bumiputera meningkat. Seperti yang pernah dinyatakan oleh bekas Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Dan Wilayah Dato’ Zainal Osman Cina 0.6%, India 2.9%, Melayu 8.3%.

  • · Ketuanan Melayu Umno mengorbankan kepentingan agama dan bangsa sendiri. Persempadanan semula 2003, menunjukkan Umno telah mengkhianat orang Melayu-Islam semata-mata untuk melawan PAS. Akibat persempadanan ini selepas pilihan raya umum ke 11 pada 21 Mac 2004 lalu, kerusi Melayu tinggal hanya 54.33 peratus sahaja. SPR dengan arahan BN enggan menambah kerusi majoriti Melayu, khuatir kedudukan politik mereka terancam. Walaupun pertambahan pengundi di Kelantan 24 %, Terengganu 21.76% dan Kedah 17.4%. Malangnya kerusi Parlimen di negeri tersebut tidak bertambah.

  • · Ketuanan Melayu Umno, menyebabkan lesap RM52 bilion saham yang diperuntukkan kepada para pelabur bumiputera dari 1984 hingga 2005. Hanya nilai RM2 bilion sahaja yang masih ada di tangan bumiputera.

  • · Ketuanan Melayu Umno punya angkara, sehingga pernah menjual saham BERNAS (Syarikat Beras Negara) kepada syarikat Wan Tak Co. Ltd yang berpengkalan di Hong Kong sebanyak 31.36%. Umno tidak sedarkah majoriti yang mengusahakan sawah ialah orang Melayu. Apakah jaminan petani-petani ini tidak dizalimi. Amat merbahaya apabila syarikat asing menguasai lesen beras negara di negara yang tercinta. Cuba bayangkan kalau yang menjual itu ialah kerajaan Pakatan Rakyat, nescaya akan dituduh agen asing di negara ini.

  • · Ketuanan Melayu Umno sanggup mengkhianati hak orang miskin contohnya lesap wang PPRT sebanyak 32 juta ditipu oleh lelaki Cina Ooi Kee Siang. Yang menjadi menterinya pada waktu itu ialah Datuk Anuar Musa daripada Umno.

  • · Ketuanan Melayu Umno yang sanggup membunuh bahasa sendiri dengan menyokong mata pelajaran Metematik dan Sains diajar dalam Bahasa Inggeris, walaupun berpuluh orang profesor dan pakar pendidikan tidak bersetuju. Demi untuk memberi projek kepada kroni, biarlah bahasa hancur dan RM6 bilion wang negara hangus. Sedangkan berapa lama usaha untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan dan bahasa ilmu telah hancur berkecai. Malahan pemimpin Umno melemparkan tuduhan kepada pejuang bahasa sebagai pelampau. Jika bahasa sendiri pun Umno tidak boleh pertahankan, apa yang hendak diharapkan untuk menegakkan satu bangsa yang lebih gagah.

Sunday, December 5, 2010

KANDUNGAN MEMORANDUM BANTAH NAIK HARGA AIR

MEMORANDUM
Isu Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air di Selangor Darul Ehsan

Kepada:
Duli Yang Maha Mulia
Tuanku Al-Wathiqu Billah Al-Sultan Mizan Zainal Abidin
Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al Muktafi Billah Shah
Yang Dipertuan Agong, Malaysia

Daripada:
Rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya serta Kerajaan Negeri
Selangor Darul Ehsan

2010

Dengan nama Allah s.w.t., Tuhan Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w., pesuruh Allah s.w.t. yang sangat mencintai dan menggesa umatnya berlaku adil.


Assalamu'alaikum w.b.t.
Ampun Tuanku beribu ampun, sembah rakyat harap diampun.

Dengan keinsafan bahawa kehidupan asasi manusia cukup bergantung dengan akses kepada air yang bersih pada kadar harga munasabah,

Dengan kesedaran perkembangan kos sara hidup rakyat kian meningkat berbanding pendapatan,

Dengan ketegasan menentang penyelewengan, salah guna kuasa dan kepura-puraan,

Dengan iltizam menegakkan sebuah kepimpinan yang prihatin, telus, bertanggungjawab, cekap, dan menghormati semangat dan amalan Persekutuan;

Maka dengan ini kami, Rakyat dan Kerajaan Negeri Selangor, berkumpul marafak sembah ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku untuk menyampaikan suara hati kami terhadap isu Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air di Selangor Darul Ehsan.

Ampun Tuanku beribu ampun, sembah rakyat harap diampun.

1) Mengembalikan Hak Air kepada Rakyat

Kami, mewakili 150,000 rakyat Selangor yang telah menurunkan tandatangan sebagai tanda sokongan kepada Memorandum ini dan juga keseluruhan rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang mendapatkan perkhidmatan air yang sama, menuntut keadilan untuk diri kami membetulkan kesalahan dalam penswastaan Industri Perkhidmatan Air yang telah dibuat, sehingga menyebabkan kualiti dan perkhidmatan air yang teruk serta peningkatan tarif air pada kadar yang tidak munasabah. Justeru, kami menuntut kualiti air dan Perkhidmatan Air yang bersih pada kadar yang munasabah, dengan mengambil kira rakyat miskin serta mereka yang berpendapatan rendah di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya. Kami merafak sembah memohon Tuanku menitahkan agar Hak Air ini dikembalikan kepada rakyat melalui pengambil-alihan oleh Kerajaan Negeri Selangor.

2) Mematuhi Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (WSIA 2006)

Kami merafak sembah memohon Tuanku mendokong semangat dan matlamat Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 yang telah menjelaskan keperluan Industri Perkhidmatan Air ini distrukturkan semula secara holistik dan diuruskan oleh Kerajaan Negeri Selangor. Sesungguhnya, Akta ini telah dirangka dan diluluskan dengan tujuan membetulkan kesalahan yang dibuat semasa menswastakan Industri Perkhidmatan Air sebelumnya. Kami merafak sembah memohon Tuanku mengingatkan Kerajaan Persekutuan agar tidak berdolak-dalik tentang keputusan ini.

3) Menghak-upayakan Rakyat

Perjanjian konsesi yang ditandatangani pada tahun 2004 antara Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (“SYABAS”), Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor mengandungi sejumlah persoalan yang jelas menunjukkan SYABAS tidak pedulikan kebajikan rakyat seperti kenaikan tarif air pada kadar yang tinggi (37% pada tahun 2009, dan 25%, 20%, 10% serta 5% pada 2012, 2015, 2018 dan 2021). Perjanjian ini seharusnya dirundingi dengan rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya kerana mereka adalah penerima kesan utama daripadanya. Kami merafak sembah memohon Tuanku menghak-upaya rakyat dengan memastikan bahawa sebarang perjanjian baru yang mahu dibuat perlulah dirunding dengan rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya sebelum dimuktamadkan.

4. Mengembalikan Kuasa Kerajaan Negeri

Perkhidmatan air yang telah dimasukkan dalam Senarai Bersama Perlembagaan Persekutuan 1957 memberikan kuasa bersama Kerajaan Negeri Selangor dan Kerajaan Persekutuan dalam hal berkaitan. Kami mendesak Kerajaan Persekutuan untuk menghormati semangat Persekutuan ini dan kuasa yang dimiliki oleh Kerajaan negeri dalam isu berkaitan perkhidmatan air ini, dan jangan berdolak-dalik menentang Kerajaan Negeri Selangor. Kami merafak sembah memohon Tuanku untuk mengembalikan kuasa Kerajaan Negeri Selangor dalam hal ini.

5) Menghapuskan Kronisme

Telah menjadi persepsi umum bahawa Kerajaan Persekutuan mengambil sikap menyebelahi sektor swasta, dalam kes ini syarikat tertentu, yang boleh disabitkan dengan amalan kronisme. Telah terbukti bahawa usaha membolehkan syarikat-syarikat penerima konsesi ini mendapat sejumlah keuntungan tertentu, mereka dibenarkan untuk menaikkan kadar tarif yang tinggi dengan pemberian jaminan pinjaman Kerajaan Persekutuan yang bermaksud rakyatlah menjadi pembayarnya. Rakyat di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya kini perlu membayar kadar harga air yang tinggi, dan pembayar cukai Malaysia perlu menjamin risiko perniagaan SYABAS. Kami merafak sembah memohon Tuanku mengingatkan janji Kerajaan Persekutuan untuk segera menghapuskan kronisme.

Dengan mandat diberikan rakyat, Kerajaan Negeri Selangor bertekad untuk memastikan nasib mereka terbela. Dengan pengambil-alihan Industri Perkhidmatan Air ini, Kerajaan Negeri Selangor berjanji untuk mengusahakannya dengan cara terbaik untuk manfaat semua.

Sekianlah penjelasan daripada Kerajaan Negeri Selangor dan rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang bersama mendoakan dan menyokong tindakan penting ini.

Menjadi harapan rakyat di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya untuk melihat ia diambil perhatian serius oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku. Rakyat menjunjung kasih atas perhatian yang diberikan.

Sekian, terima kasih.
Daulat Tuanku.
5 Disember 2010.

Thursday, December 2, 2010

ISU TPM ; KENYATAAN MEDIA TUAN GURU NIK ABDUL AZIZ NIK MAT


Isu pembahagian harta pusaka biasanya hanya didebatkan apabila seseorang sakit teruk atau sudah meninggal dunia. Sekalipun tidak salah, namun jarang sekali isu pembahagian harta pusaka timbul dalam keadaan seseorang dalam keadaan sihat sejahtera. Demikianlah juga apabila isu perlantikan Timbalan Perdana Menteri jika Pakatan Rakyat menerajui negara dibangkitkan oleh media massa milik UMNO. Bagi saya, ia tidak lebih melainkan hanyalah merupakan tanda-tanda yang menunjukkan bahawa UMNO dan Barisan Nasional sudah sakit teruk dan tidak mempunyai harapan untuk pulih lagi. Alhamdulillah, media massa milik UMNO sendiri pun nampaknya mulai sedar saat-saat akhir hayat mereka di pentas politik Malaysia. Insya-allah, saya optimis akan tiba juga ketikanya Barisan Nasional akan digantikan oleh Pakatan Rakyat untuk menerajui Putrajaya.

Berhubung isu perlantikan YB Lim Kit Siang selaku Timbalan Perdana Menteri yang kononnya dikeluarkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, sukalah untuk saya menyatakan bahawa Pakatan Rakyat tidak pernah membuat apa-apa keputusan dan tidak pernah mengadakan apa-apa perbincangan tentang hal ini. Syak saya teramat kuat bahawa permainan media telah digunakan dengan amat dahsyat di dalam memanipulasi kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Apa yang peliknya dengan budaya media milik UMNO? ‘Islam plastik’ yang pernah saya tuturkan satu ketika dahulu pun pernah dilaporkan sebagai ‘Islam Palestin”. Salah dengar dan salah lapor ialah satu budaya biasa dalam amalan media milik UMNO.

Hari ini, isu perlantikan Timbalan Perdana Menteri ini diolah sekali lagi oleh media milik UMNO dengan begitu hebat. Lalu dijemputlah segala pemimpin-pemimpin UMNO segenap lapisan untuk memberikan ulasan. Seolah-olah UMNOlah satu-satunya parti yang mempertahankan Melayu, seolah-olah bangsa Melayu ini hanya akan berdaulat melalui keris tumpul UMNO dan seolah-olah rebah UMNO bererti rebahlah Melayu. Hanyir dan busuk sekali dakwaan-dakwaan sampah yang disebarluaskan ke dalam minda masyarakat pada hari ini.

Ingin saya nyatakan, pendirian saya dari dahulu hingga sekarang tidak pernah berubah bahawa bangsa tidak mempunyai sebarang nilai di dalam Islam. Melayu, Cina atau India tidak pernah mempunyai sebarang nilai tambah di sisi Allah SWt melainkan dengan taqwa. Seorang yang berbangsa Cina tetapi bertaqwa kepada Allah SWT jauh lebih mulia dari seorang yang berbangsa Melayu tetapi hidup dengan rasuah, menindas, mengkhianat dan sebagainya. Sekalipun songkok setinggi tiga jengkal di kepala, tanpa taqwa kepada Allah SWT, ia tidak mempunyai sebarang nilai.

Lupakah kita bahawa UMNO pernah menyerahkan kerusi Ketua Menteri Pulau Pinang kepada Gerakan sekalipun UMNO yang mempunyai majoriti di Dewan Undangan Negeri? Di waktu itu, ke mana perginya ketuanan Melayu? Tersorok di dalam songkok tinggi UMNO? Ketika itu, ke mana perginya professor-profesor bertaraf cendikiawan yang sibuk mengulas isu ketuanan Melayu pada hari ini? Peliknya apabila Tun Dr Mahathir sendiri menggesa supaya dilupakan asal usul keturunan demi menjayakan 1Malaysia, tidak pula didesak untuk diusir keluar negara? Bukankah melupakan asal usul keturunan ertinya melupakan Ketuanan Melayu?

Apa yang penting ialah dasar, jika dasar Islam. Sesiapapun boleh menjadi pemimpin. Di Kelantan saya pernah mengeluarkan kenyataan berkali-kali bahawa Menteri Besar Kelantan boleh terdiri daripada seorang yang berbangsa Cina dengan syarat merupakan seorang muslim yang soleh. YB Lim Kit Siang atau sesiapapun boleh menjadi Timbalan Perdana Menteri bahkan Perdana Menteri sekalipun tidak mempunyai apa-apa halangan, syaratnya merupakan seorang muslim yang soleh. Seorang muslim yang soleh sekalipun bukan Melayu jauh lebih bermanfaat untuk negara ini dari seorang Melayu yang korup!

TUAN GURU HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT
Menteri Besar Kelantan

Bertarikh : 1 Disember 2010 / 24 Zulhijjah 1431